Kar Hing: Kerajaan Lindungi 20 Bilionair Tetapi Menghukum Peminjam PTPTN
- tankarhing
- Oct 10, 2014
- 2 min read
Angkatan Muda Keadilan mengecam tindakan kerajaan dan PTPTN yang cuba menyenarai peminjam PTPTN dalam Sistem Rujukan Maklumat Kredit Pusat (CCRIS), seperti mana yang diulaskan oleh Menteri Pendidikan II, Datuk Seri Idris Jusoh kelmarin.
“Tindakan kerajaan yang memberikan kelonggaran kepada 20 bilionair tempatan dalam pembayaran cukai dan melindungi mereka bawah akta tetapi mengugut serta menghukum anak muda peminjam PTPTN supaya menyenaraikan mereka dalam CCRIS adalah tidak munasabah.”
Naib Ketua Angkatan Muda Keadilan Malaysia, Tan Kar Hing berkata “double standard” yang diamalkan mencerminkan kegagalan urus tadbir kerajaan persekutuan. Tambahan pula, tindakan kerajaan tersebut turut menjadikan sistem pendidikan negara kita sebagai produk perniagaan komoditi tetapi bukan sebagai hak asasi rakyat.
“Hak untuk mendapatkan pendidikan jelas termaktub dalam perlembagaan Malaysia, akan tetapi, kerajaan bukan sahaja gagal menyediakan pendidikan percuma malah menyamakan hutang peminjam PTPTN dengan hutang peminjam yang bersifat komersial seperti pinjaman kereta, kad kredit dan rumah.”
Beliau mengulas lagi, kegagalan kerajaan menyediakan tempat pengajian yang secukupnya dalam Institut Pengajian Tinggi Awam (IPTA) menyebabkan Institut Pengajian Tinggi Swasta (IPTS) menerima pembiayaian tertinggi PTPTN. Beliau berkata demikian dalam kenyataan akhbarnya yang dikeluarkan selepas menghadiri program lawatan keluarga berkeperluan di Taman Bersatu. Turut bersama dalam program tersebut adalah pegawai khasnya Haji Zainudin, Selvam A/L Kunjambu.
“Sebagai contoh, kos kepada anak muda yang menuntut di kolej kejururawatan di IPTS mencecah RM50,000, tetapi peluang pekerjaan dalam pasaran adalah jauh sedikit berbanding dengan graduan setiap tahun, maka keuntungan hanya berpihak kepada untuk IPTS sahaja.”
Beliau menegaskan bahawa secara puratanya 40% keluarga masih tergolong dalam kategori pendapatan bulanan bawah RM2000, dan sudah tentunya kebanyakkan peminjam PTPTN tergolong dalam katogeri tersebut. Maka dalam isu pengutipan balik pinjaman PTPTN, isu pendapatan anak muda yang rendah serta kos sara diri yang melambung tinggi tidak harus dipisahkan.
“Bagi menyelesaikan isu pembayaran PTPTN secara jangka panjang, kerajaan seharusnya menyusun semula struktur pendidikan Malaysia, mengetatkan kelulusan kepada IPTS, mahupun kelulusan pinjaman PTPTN”
Pada hakikatnya, Pakatan Rakyat telahpun mengusulkan cadangan penyelesaian yang lebih menyeluruh, iaitu melalui pemberian pendidikan percuma dan pembatalan PTPTN demi mengiktiraf hak rakyat untuk memperolehi peluang pendidikan tinggi.

Comments